Saya tidak ingat bila kali terakhir saya melihat ibu saya Dorothy dalam keadaan sihat. Sebagai seorang yang menghidapi penyakit kencing manis selama bertahun-tahun, paras gula dalam darahnya tidak menentu. Kesihatannya merosot dan buah pinggangnya yang terjejas memerlukan rawatan dialisis yang berterusan. Malah dia harus menggunakan kerusi roda disebabkan penyakit neuropati (masalah saraf yang menyebabkan kesakitan, kebas, kesemutan, bengkak atau kelemahan otot di beberapa bahagian badan) dan patah tulang. Selain itu, penglihatannya semakin hilang.

Namun walaupun tubuhnya semakin lemah, dia semakin bersemangat dalam kehidupan doanya. Dia meluangkan masa berjam-jam untuk mendoakan orang lain supaya mereka dapat mengenal dan mengalami kasih Tuhan. Ayat-ayat Alkitab juga sangat berharga baginya. Sebelum kehilangan penglihatannya, dia telah menulis sepucuk surat kepada adik perempuannya Marjorie, yang mengandungi ayat Alkitab ini, “Dengan demikian, kami tidak tawar hati. Walaupun manusia lahiriah kami kian merosot, namun manusia batiniah kami diperbaharu setiap hari” (2 Korintus 4:16).

Rasul Paulus tahu betapa mudahnya menjadi “tawar hati”. Dalam 2 Korintus 11:23-29, Paulus menggambarkan kehidupannya—penuh dengan bahaya, keperitan dan kekurangan. Namun, dia memandang segala “kesukaran” tersebut sebagai sesuatu yang hanya sementara. Paulus menggalakkan kita bukan sahaja berfikir tentang apa yang kita dapat lihat, tetapi juga tentang apa yang kita tidak dapat lihat— yang kekal (2 KORINTUS 4:17-18).

Walaupun apa yang sedang berlaku kepada kita sekarang, Bapa kita yang penuh kasih melakukan pembaharuan dalam diri kita setiap hari. Dia pasti menyertai kita. Melalui doa, Dia hanya sejauh hembusan nafas dan janji-Nya untuk menguatkan kita serta memberi kita harapan dan sukacita adalah pasti.