Selepas kejadian Kebakaran Marshall, iaitu satu kebakaran yang meninggalkan kesan kemusnahan yang paling teruk dalam sejarah Colorado, Amerika Syarikat, sebuah pelayanan gereja menawarkan bantuan kepada mangsa-mangsa kebakaran itu untuk mencari barang-barang mereka yang berharga dalam abu kebakaran. Ahli-ahli keluarga mangsa kebakaran tersebut telah memberitahu tentang barang-barang berharga yang mereka harap masih terselamat daripada kebakaran itu. Namun tidak banyak barang yang telah ditemui. Seorang lelaki dengan nada sedih menyebut tentang cincin perkahwinannya. Dia telah meletakkan cincinnya di atas almari berlaci di dalam bilik tidur tingkat atas. Rumahnya telah habis terbakar, dan barang-barang yang telah hangus dan lebur menjadi satu lapisan serpihan di tingkat bawah tanah. Para pencari telah berusaha untuk mencari cincin tersebut di sudut yang sama di bilik tidur itu tetapi tidak berjaya.

Nabi Yesaya telah menulis dengan sedihnya tentang kemusnahan Yerusalem, bandar yang akan dibinasakan sepenuhnya. Demikian juga, ada kalanya kita berasa bahawa kehidupan yang kita bina telah terhapus menjadi abu. Kita berasa bahawa kita telah kehilangan segalanya, dari segi emosi dan kerohanian, Namun Yesaya menawarkan harapan ini: “Dia [Tuhan] mengutus aku untuk membalut hati yang hancur, … untuk menghiburkan semua yang berkabung” (YESAYA 61:1-2). Tuhan akan menukarkan tragedi kita menjadi kemuliaan: “[Dia akan] mengurniai mereka perhiasan kepala sebagai ganti abu” (YESAYA 61:3). Dia berjanji untuk “membina semula tempat-tempat yang sudah lama rosak” (YESAYA 61:4).

Di kawasan kejadian Kebakaran Marshall itu, seorang wanita telah menjumpai cincin perkahwinan lelaki tersebut, yang masih berada dalam bekas cincin, semasa dia mencarinya dalam abu di arah yang bertentangan. Ketika anda berasa putus asa, Tuhan akan menghulurkan tangan-Nya ke dalam abu kehidupan anda dan mengeluarkan benda yang benar-benar berharga, iaitu anda sendiri!