Masa kesaksian merupakan satu segmen dalam ibadah gereja kami apabila orang berkongsi tentang pekerjaan Tuhan dalam kehidupan mereka. Auntie—atau Sis Langford, sebagaimana dia dikenali dalam keluarga gereja kami—selalu dipenuhi pujian dalam kesaksiannya. Setiap kali dia bersaksi tentang kisah lahir baharunya, seseorang boleh menjangkakan dia akan mengambil lebih masa dalam ibadah gereja pada hari tersebut. Pujian tercurah dari hatinya kepada Tuhan kerana Dia telah mengubah hidupnya!
Begitu juga, kesaksian penulis Mazmur 66 dipenuhi dengan pujian semasa dia memberi kesaksian tentang apa yang telah dilakukan Tuhan untuk umat-Nya. “Marilah melihat perbuatan Allah, Dia sungguh menakjubkan dalam perbuatan-Nya terhadap anak-anak manusia!” (ayat 5). Perbuatan-Nya termasuk penyelamatan yang ajaib (ayat 6), perlindungan (ayat 9), dan ujian serta disiplin yang mengakibatkan umat-Nya dibawa ke tempat yang lebih baik (ayat 10-12). Walaupun kita mungkin mempunyai pengalaman rohani yang serupa dengan orang percaya yang lain dalam Yesus, tetapi terdapat juga perkara unik dalam perjalanan hidup peribadi kita. Pernahkah Tuhan memperkenalkan diri-Nya secara khusus pada suatu masa dalam kehidupan anda? Semua ini patut dikongsi dengan orang lain yang perlu mendengar cara Dia bekerja dalam kehidupan anda. “Marilah dan dengarlah, wahai kamu yang takut akan Allah; aku akan mengisytiharkan apa yang telah dilakukan-Nya untukku” (ayat 16).
Bagaimanakah anda boleh lebih bersedia untuk berkongsi pengalaman anda tentang kebaikan Tuhan dengan orang lain? Ketika anda mendengar orang lain berkongsi tentang perbuatan Tuhan yang mengagumkan, bagaimanakah ini dapat memberi anda inspirasi untuk lebih mempercayai Dia?
Bapa Syurgawi, aku bergembira kerana Engkau telah banyak menyatakan kebaikan-Mu kepadaku. Tolonglah aku supaya tidak menyimpannya untuk diriku sendiri sahaja.
Mazmur 66 merupakan lagu penyembahan yang memuji Tuhan kerana Dia menyelamatkan umat-Nya daripada ancaman musuh. Walaupun keadaan tertentu itu tidak disebutkan, ataupun nama pengarangnya tidak diketahui, sesetengah cendekiawan mencadangkan bahawa Raja Hizkia yang menulis lagu kesyukuran ini setelah Tuhan dengan ajaib mengalahkan orang Asyur sebagai jawapan kepada doanya untuk pembebasan (2 Tawarikh 32:1-22; Yesaya 36-37). Persembahan domba jantan, lembu jantan dan kambing (Mazmur 66:15) adalah korban yang akan dipersembahkan oleh raja kepada Tuhan (lihat 2 Tawarikh 30:24). Pemazmur mengimbas kembali pembebasan yang ajaib dalam sejarah mereka—bagaimana Tuhan memimpin mereka keluar dari Mesir, menyeberangi Laut Merah, melalui padang gurun, dan masuk ke Tanah Perjanjian (Mazmur 66:1-12). Bahagian kedua lagu itu merupakan kesyukuran peribadi kerana Tuhan mengabulkan doanya (ayat 13-20). Pemazmur menyebutkan mengenai syarat penting agar doa kita didengar Tuhan: “Kalaulah ada niat jahat dalam hatiku, Tuhan tidak akan mendengar rayuanku” (ayat 18).
Sim Kay Tee (Penulis Tamu)