“Agama Kristian bukan untuk saya, itu membosankan. Salah satu matlamat hidup saya ialah kembara. Itulah kehidupan yang ideal bagi saya,” kata seorang wanita muda kepada saya. Saya sedih kerana dia belum mengetahui kegembiraan dan keseronokan yang luar biasa yang dialami oleh orang yang mengikut Yesus—suatu pengembaraan yang tiada tandingannya. Saya berkongsi Yesus kepadanya dengan teruja, tentang kehidupan sebenar yang boleh ditemui dalam Dia.
Kata-kata semata-mata tidak memadai untuk menggambarkan perjalanan dalam mengenal dan berjalan bersama-sama Yesus, Anak Tuhan. Dalam Efesus 1, rasul Paulus memberi kita gambaran yang kecil tetapi yang berkuasa tentang kehidupan bersama Dia. Tuhan kita Yesus Kristus telah “memberkati kita dengan segala berkat rohani di syurga” (ayat 3), “supaya kita suci dan tidak bercela di hadapan-Nya” (ayat 4), dan kita diangkat sebagai anak-Nya, “menurut keredaan dan kehendak-Nya” (ayat 5). Dia memberkati kita dengan “pengampunan dosa, menurut limpah kasih kurnia-Nya” (ayat 7-8), Dia juga “memberitahu kita rahsia kehendak-Nya” (ayat 9), dan tujuan baharu untuk hidup yang “mendatangkan puji bagi kemuliaan-Nya” (ayat 12). Roh Kudus akan tinggal dalam kita untuk menguatkan dan memimpin kita (ayat 13), dan Dia berjanji Tuhan akan menyertai kita selama-lamanya (ayat 14).
Apabila Yesus Kristus masuk dalam kehidupan kita, kita akan mendapati bahawa mengenali Dia lebih dalam dan berjalan bersama-Nya merupakan pengembaraan hidup yang paling hebat. Carilah Dia sekarang, dan memperoleh kehidupan yang sebenar setiap hari.