Grainger McKoy ialah seorang artis yang mengkaji dan memahat patung burung. Dia mahir mengabadikan posisi pelbagai jenis burung yang menunjukkan keanggunan, kelemahan dan kekuatan dalam karyanya. Dalam salah satu karyanya yang bertajuk Recovery (Pemulihan), sayap kanan tunggal seekor itik ekor runcing diregangkan tinggi dalam kedudukan menegak. Di bawahnya terdapat satu plak yang menjelaskan, “Inilah saat kelemahan terbesar burung ini dalam penerbangan, tetapi juga saat ia mengumpulkan kekuatan untuk meneruskan perjalanan di hadapan.” Grainger memasukkan ayat ini: “Cukuplah kasih kurnia-Ku bagimu, kerana kekuatan-Ku menjadi sempurna dalam kelemahan” (2 Korintus 12:9).
Rasul Paulus menulis kata-kata ini kepada jemaah di Korintus. Pada suatu ketika Paulus telah menanggung pergelutan sendiri, maka dia memohon Tuhan untuk menghapuskan apa yang digambarkannya sebagai “duri dalam daging” (ayat 7). Penderitaannya itu mungkin berbentuk penyakit fizikal atau tentangan rohani. Seperti Yesus di Bukit Zaitun pada malam sebelum penyaliban-Nya (Lukas 22:39-44), Paulus berulang kali meminta Tuhan menghapuskan penderitaannya. Roh Kudus bertindak balas dengan meyakinkannya bahawa Dia akan memberikan kekuatan yang diperlukan. Waktu itu Paulus sedar, “Apabila aku lemah, ketika itulah aku kuat” (2 Korintus 12:10).
Oh, betapa banyaknya duri yang kita alami dalam kehidupan ini! Seperti seekor burung mengumpul kekuatannya untuk meneruskan langkah perjalanan, kita boleh mengumpulkan kekuatan daripada Tuhan untuk apa yang kita akan hadapi. Dalam kekuatan-Nya, kita mendapat kekuatan baharu.