Sebagai ahli pasukan kepimpinan untuk pelayanan tempatan, sebahagian tugas saya adalah menjemput orang lain menyertai kami sebagai ketua kumpulan pada masa perbincangan. Dalam jemputan tersebut, saya menjelaskan komitmen masa yang diperlukan dan menekankan pemimpin perlu berhubung dengan ahli-ahli kumpulan kecil mereka, melalui perjumpaan dan sering mengambil berat mereka melalui panggilan telefon. Saya sering berasa berat hati untuk memaksa orang lain, kerana menyedari pengorbanan yang perlu dilakukan mereka untuk menjadi seorang pemimpin. Namun kadangkala jawapan mereka benar-benar di luar jangkaan saya: “Saya berbesar hati untuk melakukannya.” Ketua-ketua kumpulan ini tidak memberi alasan yang kukuh untuk menolak tugas ini, mereka sebaliknya menyatakan rasa syukur kepada Tuhan atas semua yang telah dilakukan-Nya dalam kehidupan mereka, malah mereka tidak sabar untuk melibatkan diri dalam pelayanan.
Apabila tiba masanya memberi sumbangan untuk pembinaan bait Tuhan, Daud mempunyai respons yang serupa: “Siapakah aku, dan siapakah bangsaku, sehingga kami dimampukan untuk memberikan persembahan sukarela seperti ini?” (1 Tawarikh 29:14). Kemurahan hati Daud terdorong oleh rasa syukur atas penglibatan Tuhan dalam kehidupannya dan umat Israel. Tindak balasnya mencerminkan kerendahan hati dan pengakuannya akan kebaikan Tuhan terhadap “pendatang dan perantau” (ayat 15).
Pemberian kita kepada pekerjaan Tuhan—sama ada itu berupa masa, bakat, atau wang—mencerminkan rasa syukur kita kepada Dia yang asalnya telah memberi kita segalanya. Semua yang kita miliki datang “daripada tangan-Nya” (ayat 14); sebagai balasan, kita boleh memberi dengan penuh rasa syukur kepada-Nya.