Tembok bisikan di Stesen Grand Central di Bandaraya New York merupakan oasis akustik dari hiruk-pikuk kawasan itu. Tempat yang unik ini membolehkan orang ramai menyampaikan mesej senyap daripada jarak sejauh 9 meter. Apabila seseorang berdiri di dasar gerbang granit dan bercakap dengan lembut ke dinding itu, gelombang bunyi akan bergerak ke atas melalui lekukan batu dan sampai kepada pendengar di sebelah.
Ayub mendengar bisikan mesej ketika hidupnya dipenuhi dengan kebisingan dan tragedi kehilangan hampir segala-galanya (Ayub 1:13-19; 2:7). Rakan-rakannya melontarkan pendapat mereka, pemikirannya sendiri melayang tanpa henti, dan masalah telah menyerang setiap aspek kewujudannya di bumi ini. Namun, keagungan alam semula jadi berbicara dengan lembut kepadanya tentang kuasa Tuhan.
Kemegahan langit, misteri bumi yang tergantung di angkasa, dan kestabilan ufuk mengingatkan Ayub bahawa dunia berada dalam telapak tangan Tuhan (26:7-11). Malah laut yang bergelora dan suasana yang bergemuruh menyebabkan dia berkata, “semua itu sekadar pinggiran jalan-Nya. Alangkah lembut bisikan yang kita dengar tentang Dia” (ayat 14).
Jika keajaiban dunia hanya menggambarkan cebisan keupayaan Tuhan, jelas bahawa kuasa-Nya melebihi kefahaman kita. Pada masa-masa kehancuran, fakta ini memberi kita harapan. Tuhan boleh melakukan apa sahaja, termasuk apa yang telah dilakukan-Nya untuk Ayub, ketika Dia menopang Ayub pada waktu penderitaannya.