Pada malam sebelum tahun baru 2000, pegawai-pegawai kerajaan di Detroit dengan berhati-hati membuka satu kapsul masa yang berusia 100 tahun. Di dalam kotak tembaga itu terdapat ramalan yang penuh harapan daripada beberapa orang pemimpin bandar yang menyatakan visi kemakmuran. Namun mesej daripada Datuk Bandar memberikan pendekatan yang berbeza. Dia menulis, “Semoga kita dibenarkan untuk meluahkan satu harapan yang lebih besar kepada semua orang … kita akan sedar, bahawa sebagai satu negara, rakyat dan bandar, kita mahu bertumbuh dalam kebenaran, kerana barulah sesebuah negara akan menjadi makmur.”
Sebenarnya datuk bandar tersebut boleh menuliskan harapannya tentang kejayaan, kebahagiaan atau kemakmuran, namun dia berharap agar warganegara pada masa depan akan memiliki keadilan dan kejujuran, malah bertumbuh dalamnya. Mungkin dia telah meneladani Yesus, kerana Dia memberkati orang yang merindukan kebenaran-Nya (Matius 5:6). Tetapi kita mudah berputus asa apabila melihat piawaian Tuhan yang sempurna.
Puji Tuhan, kerana kita tidak perlu bergantung pada usaha sendiri untuk bertumbuh. Penulis Ibrani berkata demikian: “Semoga Allah kesejahteraan … melengkapkan kamu dengan segala yang baik untuk melakukan kehendak-Nya, mengusahakan dalam dirimu apa yang diredai-Nya, melalui Yesus Kristus” (Ibrani 13:20-21). Kita yang hidup dalam Yesus disucikan dengan darah-Nya pada saat kita percaya kepada-Nya (ayat 12), namun Dia secara aktif masih menumbuhkan buah kebenaran di dalam hati kita sepanjang hayat. Kita mungkin akan sentiasa tersandung dalam perjalanan hidup, namun kita boleh tetap menantikan “kota yang akan datang”, tempat yang Tuhan akan memerintah dengan adil (ayat 14).