Setelah didiagnosis dengan tumor otak, Christina Costa mendapati orang sering menggunakan perkataan seperti “perjuangan” atau “melawan” ketika berhadapan dengan penyakit ini. Namun dia juga mendapati bahawa perkataan seperti ini semakin lama semakin membuat dia rasa penat. Dia “tidak mahu menghabiskan masa selama setahun lebih untuk berperang dengan tubuh[nya] sendiri.” Sebaliknya, dia menyedari cara yang amat membantu untuk keadaannya adalah mempraktikkan rasa kesyukuran setiap hari. Misalnya bersyukur untuk para doktor dan jururawat yang menjaganya, serta otak dan tubuhnya yang menunjukkan kesembuhan. Dia mendapati bahawa tidak kira betapa sukar perjuangan yang dihadapi, amalan bersyukur dapat membantu kita mengharungi tekanan dan “merangkaikan wayar otak kita untuk membantu membina daya pemulihan.”
Kisah Costa yang hebat mengingatkan saya bahawa mempraktikkan kesyukuran bukan hanya tugas yang patut dilakukan oleh orang percaya. Meskipun benar bahawa Tuhan layak menerima kesyukuran kita, ini juga sesuatu yang sememangnya baik untuk kita. Apabila kita mengangkat hati untuk berkata, “Pujilah TUHAN, wahai jiwaku, dan jangan lupakan segala rahmat-Nya!” (Mazmur 103:2), kita diingatkan tentang perbuatan Tuhan yang tidak terkira. Dia meyakinkan kita tentang pengampunan dan penyembuhan-Nya untuk tubuh dan hati kita, supaya kita dapat mengalami “kasih sayang dan belas kasih”, serta perkara baik yang tidak terkira dalam penciptaan-Nya (ayat 3-5).
Walaupun bukan semua penderitaan akan mendapat penyembuhan yang sepenuhnya dalam kehidupan ini, hati kita sentiasa boleh selalu diperbaharui dengan rasa kesyukuran, kerana kasih Tuhan ada bersama kita “dari selama-lamanya sampai selama-lamanya” (ayat 17).