Seorang bayi yang bernama Graham menangis dan meronta ketika ibunya memegangnya di pangkuan, sementara doktor memasukkan alat pendengaran pertamanya. Sejurus selepas doktor menghidupkan peranti tersebut, Graham terus berhenti menangis. Matanya terbeliak. Dia tersengih. Dia boleh mendengar suara ibunya menghiburkan dia, menggalakkan dia, dan memanggil namanya.
Bayi Graham mendengar ibunya bercakap, tetapi dia memerlukan bantuan untuk mempelajari cara mengecam suaranya dan memahami maksud kata-katanya. Yesus membawa kita mengalami proses pembelajaran yang serupa. Sebaik sahaja kita menerima Kristus sebagai Juruselamat kita, kita menjadi domba yang dikasihi-Nya dan dibimbing-Nya (Yohanes 10:3). Semasa kita berlatih untuk mendengar dan mengenal suara-Nya (ayat 4), kita akan semakin mentaati dan percaya kepada Dia.
Dalam Perjanjian Lama, Tuhan berfirman melalui para nabi. Dalam Perjanjian Baru, Yesus—Tuhan yang telah menjadi manusia—bercakap secara langsung kepada manusia. Hari ini, orang yang percaya kepada Yesus memiliki Roh Kudus yang menolong kita memahami dan mentaati firman Tuhan yang diilhamkan-Nya dan dipelihara dalam Alkitab. Kita boleh berkomunikasi secara langsung dengan Yesus melalui doa kita sebagaimana Dia bercakap kepada kita melalui Alkitab dan umat-Nya. Apabila kita mula mengenal suara Tuhan, yang sentiasa selaras dengan firman-Nya dalam Alkitab, kita boleh berseru dengan penuh syukur, “Aku mendengar-Mu, Tuhan!”