Saya, kakak dan abang saya terbang dari negeri yang berasingan untuk menghadiri pengebumian bapa saudara kami dan singgah untuk melawat nenek kami yang berusia sembilan puluh tahun. Dia telah lumpuh akibat strok, kehilangan keupayaan untuk bercakap, dan hanya dapat menggunakan tangan kanannya. Semasa kami berdiri di sekeliling katilnya, dia menghulurkan tangan kanannya dan mengambil setiap tangan kami, meletakkan satu tangan di atas satu tangan yang lain di dadanya dan menepuknya. Dengan isyarat tanpa kata-kata ini, nenek saya berbicara tentang hubungan adik-beradik kami yang agak berpecah-belah dan renggang. “Keluarga adalah penting.”
Dalam keluarga Tuhan, iaitu gereja, hubungan kita juga boleh menjadi renggang dan terpisah. Kita mungkin akan membiarkan kepahitan memisahkan kita. Penulis Ibrani merujuk kepada kepahitan yang memisahkan Esau daripada saudaranya (Ibrani 12:16), dan mencabar kita untuk saling menyokong dalam keluarga Tuhan. “Berusahalah mendapatkan perdamaian dengan semua orang” (ayat 14). Ungkapan berusahalah bermaksud membuat keputusan dan mengambil langkah yang tegas untuk mencapai perdamaian dengan saudara dan saudari kita dalam keluarga Tuhan. Usaha sedemikian patut dipraktikkan oleh setiap orang. Ya, setiap orang.
Keluarga adalah penting. Baik keluarga duniawi kita mahupun keluarga Tuhan. Alangkah baiknya jika setiap kita berusaha untuk hidup damai antara satu sama lain.
Apakah maksudnya bagi anda untuk “Berusahalah mendapatkan perdamaian dengan semua orang” dalam keluarga Tuhan? Adakah terdapat seseorang dalam hidup anda yang anda mungkin perlu mengambil inisiatif untuk berdamai dengan dia?
Tuhan, terima kasih kerana membawaku kepada-Mu. Tolonglah aku berusaha untuk berdamai dengan semua orang dalam keluarga-Mu.
Dalam Ibrani 12:14, frasa “berusahalah” merupakan terjemahan bagi perkataan Yunani:
diōkō. Ia mempunyai pelbagai maksud termasuk “berusaha mengamalkan” perkara yang baik atau yang tidak berapa baik (lihat 2 Timotius 2:22); “terus berusaha”; “untuk menganiaya” sama maksud dengan mengganggu atau mendera (lihat 3:12 [dianiaya]). Tiga kali dalam Filipi 3 perkataan
diōkō digunakan ketika Paulus berkongsi tentang kesaksian peribadinya: “dari segi kesungguhan, aku telah
menganiaya jemaah” (ayat 6); “Aku
terus berusaha, semoga aku dapat mengambil sesuatu yang kerananya aku telah diambil oleh Kristus Yesus” (ayat 12); “Aku
terus berusaha ke arah matlamat mendapatkan ganjaran, iaitu penggilan Allah ke syurga dalam Kristus Yesus” (ayat 14). Terjemahan Versi Standard Inggeris (English Standard Version) menekankan dua perkara yang sangat penting dalam Ibrani 12:14: “Berusahalah mendapatkan perdamaian dengan semua orang, serta kesucian; tanpanya tiada sesiapa pun dapat melihat Tuhan.” Oleh sebab ajaran ini berkenaan tentang hubungan kita dengan orang lain, matlamat utama kita patutlah mencapai dan mendoakan keharmonian dan kesucian—sekalipun usaha sebegini tidak menerima sebarang balasan.
Arthur Jackson