Dalam eseinya yang bertajuk “Pelayanan dan Spektrum,” Profesor Daniel Bowman Jr. menulis tentang kesukaran untuk membuat keputusan ketika melayani di gerejanya sebagai seorang autistik. Dia menjelaskan, “Orang autisme perlu menempa laluan baharu ke hadapan setiap masa, harus mengambil kira setiap laluan unik … tenaga mental, emosi dan fizikal … masa bersendirian/masa berehat; input deria dan tahap keselesaan … masa pelayanan; sama ada kita dihargai kerana kekuatan kita dan diterima kerana keperluan kita, bukannya dikecualikan kerana dianggap kurang berkeupayaan; dan banyak lagi.” Bagi kebanyakan orang, menurut Bowman, keputusan sedemikian “mungkin tidak akan menjejaskan seseorang yang harus membuat penyesuaian semula dari segi masa dan tenaga, namun keputusan yang sama mungkin akan menjejaskan saya.”
Bowman percaya bahawa visi kebersamaan yang dijelaskan oleh Paulus dalam 1 Korintus 12 boleh menjadi jalan penyelesaiannya. Dalam ayat 4-6, Paulus menjelaskan bahawa Tuhan memberikan kurnia secara unik kepada setiap umat-Nya untuk “kebaikan semua” (ayat 7). Masing-masing merupakan anggota yang “amat kita perlukan” dalam tubuh Kristus (ayat 22). Apabila gereja memahami pemberian Tuhan yang unik bagi setiap orang, dan bukannya memaksa semua orang melayani dengan cara yang sama, mereka dapat menyokong ahli mereka untuk melayani dengan cara yang sesuai dengan kurnia mereka.
Dengan cara ini, setiap orang dapat saling membangun dan saling melengkapi, serta menjadi kuat sebagai anggota tubuh Kristus (ayat 26).