Di Teluk Monterey, California, Amerika, seorang kapten bot ternampak 15 ekor ikan lumba-lumba jenis sisi putih Pasifik berenang bersama satu kelompok super, yang terdiri lebih daripada 2,000 ekor lumba-lumba. Biasanya, lumba-lumba yang berlainan jenis dan umur akan berkumpul dalam kumpulan untuk melindungi diri daripada pemangsa, mencari makanan, serta bermain dan bersosial. Tetapi, kumpulan yang sangat besar dan pelbagai jenis seperti demikian jarang sekali dapat dilihat.

Alkitab mencatat satu perhimpunan luar biasa. Perhimpunan tersebut melibatkan orang daripada berbilang bangsa, yang menjadi asas sangat penting dalam sejarah iman kita. Ketika para murid merayakan Hari Pentakosta di Yerusalem, “tiba-tiba kedengaran bunyi dari langit seperti angin kencang menderu, memenuhi seluruh rumah tempat mereka sedang duduk” (Kisah Para Rasul 2:2). Setiap mereka “dipenuhi Roh Kudus,” yang membolehkan mereka bertutur dalam pelbagai bahasa asing (ayat 4). Pada masa itu, ada juga orang Yahudi “daripada segala bangsa di bawah langit” telah berkumpul untuk merayakan perayaan Hari Pentakosta (ayat 5). Apabila mereka pergi melihat bunyi yang kuat itu, mereka “masing-masing mendengar orang bertutur dalam bahasanya” (ayat 6). Kemudian Petrus memberitakan bahawa Yesus adalah “Tuhan dan Penyelamat” (ayat 36 TMV). Kira-kira tiga ribu orang menjadi percaya dan dibaptis (ayat 41). Apabila umat Tuhan hidup dalam persekutuan dengan cara yang belum pernah berlaku sebelumnya, Dia “menambah bilangan jemaah mereka itu dengan orang yang diselamatkan” (ayat 47).

Dengan kuasa Roh Kudus, umat Tuhan di seluruh dunia terus berkumpul untuk bertumbuh dalam persekutuan dan mengakui Yesus sebagai Tuhan. Melalui kita, Dia akan terus memperluas kerajaan-Nya.