Telefon pintar saya kadangkala mengingatkan saya bahawa saya tidak begitu pandai menjaga “kebersihan digital”. Bunyi mesejnya, “Fail sampah mengambil ruang storan.” “Padam 675MB fail sampah.” Saya sebenarnya tidak suka ditegur oleh telefon saya. Tetapi jika fail-fail sampah itu dibersihkan, saya akan mempunyai lebih banyak ruang untuk fail-fail yang benar-benar penting. Contohnya, apabila saya berada di pertandingan renang anak perempuan saya, akan ada storan yang cukup untuk merakam video sewaktu dia memenangi perlumbaan, bukannya tiba-tiba menyedari bahawa “fail sampah” yang menjengkelkan itu telah menghalang peluang saya untuk merakam detik tersebut.
Fail sampah dalam telefon mudah dipadamkan. Tetapi bagaimanakah pula dengan “fail sampah” dalam jiwa kita? Seperti telefon, jiwa kita juga boleh dipenuhi perkara-perkara yang menghalang pertumbuhan rohani kita. Penulis kitab Ibrani memahami realiti ini dan menggalakkan kita supaya memberi perhatian terhadap apa sahaja yang menghalang perjalanan kita bersama Tuhan. “Kita hendaklah menjauhi beban dan dosa yang amat mudah menjerat kita,” tulisnya, diikuti dengan cabaran ini: “dan berlari dengan gigih dalam perlumbaan yang ditentukan bagi kita” (Ibrani 12:1).
Apakah yang membebankan anda? Apakah yang sering menjatuhkan anda? Kitab Ibrani menggalakkan kita “mengarahkan mata kita kepada Yesus, Pelopor dan Penyempurna iman kita” (ayat 2), satu-satunya yang dapat menolong kita mengenal pasti dan memadam “fail-fail sampah” yang menghalang kita mengalami kelimpahan hidup di dalam-Nya.
ILHAM
Penerima asal surat kepada orang Ibrani ialah umat Yahudi yang percaya kepada Yesus, waktu itu mereka mungkin sedang mempertimbangkan untuk berbalik kepada agama Yudaisme atau mula terpengaruh dengan ajaran sesat (LIHAT 2:1-4; 3:1-4). Ramai cendekiawan berpendapat bahawa surat ini ditulis sebelum kemusnahan kota Yerusalem dan Bait Suci pada tahun 70 masihi, kerana di dalamnya masih terdapat rujukan kepada upacara dan persembahan korban orang Yahudi. Surat Ibrani menggalakkan orang percaya untuk bertahan dan tetap berpegang teguh pada Kristus (2:1-4; 3:7-4:13; 5:11-6:2). Dalam fasal 11, dikenali sebagai “Dewan Tokoh Iman,” penulis memuji ramai lelaki dan wanita dalam Alkitab yang hidup dengan iman, malah ada yang sanggup mengorbankan nyawa kerana iman mereka. Oleh itu, kerana kesaksian dan teladan mereka, setiap orang yang percaya kepada Yesus digesa untuk “menjauhi beban dan dosa yang amat mudah menjerat” kita—dan “berlari dengan gigih dalam perlumbaan yang ditentukan bagi kita” (12:1).
