Di satu sudut anak tangga bata yang menuju ke pintu depan rumah kami, tumbuh sebatang bunga begonia merah yang tahan lasak. Kami tidak menanamnya—mungkin ia tumbuh sendiri daripada biji benih yang jatuh dari bakul gantung. Tetapi kami membiarkan ia terus tumbuh di situ. Tahun demi tahun, bunga itu menjadi peringatan yang ceria bagi saya dan isteri saya bahawa ketabahan itu sesuatu yang indah.
Yakobus memberikan dorongan yang lebih indah lagi agar kita terus tabah, terutama bagi mereka yang menghadapi tentangan kerana iman mereka kepada Yesus: “Anggaplah sebagai suatu kebahagiaan apabila kamu menghadapi pelbagai cubaan … kerana kamu tahu bahawa ujian terhadap imanmu menghasilkan ketabahan” (Yakobus 1:2-3).
Kebahagiaan? Kita mungkin berasa sukar untuk menerima kata-kata itu, tetapi rasul Yakobus memegang harapan dan yakin pada kebenaran bahawa Tuhan berkuasa atas segala sesuatu, dan dapat mendatangkan kebaikan walaupun daripada keadaan yang sukar. Yakobus melengkapkan pemikiran itu: “Berbahagialah orang yang tabah semasa mengalami cubaan … mereka akan menerima pahala berupa kehidupan yang sudah dijanjikan oleh Allah kepada orang yang mengasihi-Nya” (ayat 12). Perkataan berbahagialah adalah perkataan yang sama digunakan oleh Yesus dalam Ucapan Bahagia (Matius 5:4-12), dan membawa maksud “gembira”.
Walau apa pun yang kita hadapi, termasuk cabaran iman dan kesukaran hidup, Tuhan akan menolong kita dengan kasih-Nya untuk terus bertahan, dan suatu hari nanti Dia akan mengurniakan kebahagiaan-Nya yang indah kepada kita.
Engkaulah yang memberi kebahagiaan yang terbesar!
ILHAM
Yesus ialah teladan ketabahan yang paling agung ketika menghadapi cubaan. Kitab Ibrani mengajar kita supaya “mengarahkan mata kita kepada Yesus, Pelopor dan Penyempurna iman kita. Untuk kebahagiaan yang ditentukan bagi-Nya, Dia telah menanggung seksa salib, tanpa menghiraukan pengaiban itu, dan sekarang Dia duduk di sebelah kanan takhta Allah” (12:2). Terjemahan perkataan Yunani “tekun” (hypomenō), telah diterjemahkan sebagai “tabah” dalam Yakobus 1:12: “Diberkatilah orang yang tabah menghadapi cubaan.” Apa yang dimaksudkan dalam kedua-dua penggunaan tersebut ialah ketabahan yang disertai dengan pengharapan. Harapan akan hasil yang memuliakan Tuhan dan menguatkan jiwa memberi kita alasan untuk mengalami “kebahagiaan” (AYAT 2), walaupun kita sedang menghadapi pelbagai cabaran hidup. Memandangkan perjalanan hidup tidak selalu mudah, kita diajak untuk memohon hikmat daripada Tuhan (AYAT 5) dan percaya bahawa Dia akan mendatangkan kebaikan melalui setiap ujian hidup yang kita hadapi.
