Selepas menganggur selama setahun, Ethan akhirnya mendapat tawaran kerja yang baik—tetapi isterinya tidak bersetuju dia menerima tawaran tersebut. “Adakah ini benar-benar baik untukmu?” tanyanya. “Kerja ini menuntut syif malam, jadi akan menyukarkan kamu menghadiri gereja pada pagi Ahad, seperti pekerjaan dahulu.” Selepas berdoa dan mempertimbangkannya dengan teliti, Ethan memutuskan untuk menolak tawaran itu. Walaupun tidak ada yang salah dengan pekerjaan tersebut, dia tahu bahawa pekerjaan itu tidak baik baginya. Beberapa bulan kemudian, dia mendapat pekerjaan lain pada siang hari yang membolehkannya menghadiri gereja secara tetap.

Keputusan yang kelihatan logik tidak semuanya bijaksana atau menghormati Tuhan. Contohnya, bagi orang Israel, meminta seorang raja kelihatan seperti tindakan yang wajar. Anak-anak lelaki nabi Samuel tidak layak memimpin (1 Samuel 8:3), dan bangsa-bangsa lain nampaknya hidup makmur di bawah pemerintahan raja (ayat 5, 20). Namun Tuhan memberi amaran kepada mereka supaya tidak bergantung sepenuhnya pada manusia; hanya Dialah Raja mereka yang sejati, yang dapat melindungi dan mencukupkan segala keperluan mereka (ayat 7, 11-18). Walaupun begitu, orang Israel tetap berkeras (ayat 19). Hal ini menyebabkan Tuhan berfirman kepada Samuel, “Mereka bukannya menolak engkau tetapi mereka menolak Aku kerana tidak mahu Aku bertakhta atas mereka” (ayat 7). Kemudian, orang Israel menderita di bawah pemerintahan serangkaian raja yang jahat.

Kebijaksanaan manusia boleh mendorong kita bergantung pada diri sendiri dan bukannya pada Tuhan. Pimpinan Tuhan mungkin kelihatan bertentangan dengan logik manusia, tetapi itu sebenarnya hikmat sejati dan membawa kebaikan. Semoga kita belajar untuk mempercayai Dia dan menerima pemerintahan-Nya dalam hidup kita, kerana Dialah satu-satunya Raja kita yang penuh kasih.