Apabila anak Monica, Augustine, ingin meninggalkan rumah untuk pergi ke sebuah kota yang terkenal dengan kemaksiatan, dia memohon kepada Tuhan supaya tidak membiarkan anaknya pergi. Namun Augustine tetap pergi, dan hal itu sangat menyedihkan hati ibunya. Tetapi di kota itulah Tuhan mengubah hidupnya. Dalam bukunya, Confessions (Pengakuan-Pengakuan), Augustine kemudian berdoa, “Namun dalam hikmat-Mu yang mendalam, Engkau mendengar inti kerinduan ibuku … supaya Engkau menjadikan aku seperti yang sentiasa didoakannya.” Akhirnya, Augustine bukan sahaja menjadi seorang yang percaya kepada Yesus, malah dia juga salah seorang pemikir Kristian yang paling berpengaruh dalam sejarah.

Kadangkala Tuhan tidak memberikan apa yang kita minta—sebaliknya Dia memberikan sesuatu yang lebih berharga. Seperti Monica, rasul Paulus juga pernah meminta sesuatu daripada Tuhan tetapi tidak menerimanya. Kita tidak tahu apa itu “duri” dalam daging Paulus, tetapi kita tahu hal itu sangat menyeksanya. “Tiga kali” dia “memohon kepada Tuhan supaya seksa ini disisihkan” daripadanya (2 Korintus 12:7-8). Namun Tuhan menjawab, “Cukuplah kasih kurnia-Ku bagimu, kerana kekuatan-Ku menjadi sempurna dalam kelemahan” (ayat 9). Akhirnya, Paulus menyimpulkan bahawa dia akan “paling rela berbangga” tentang kelemahannya supaya dia dapat mengalami “kuasa Kristus” dengan lebih mendalam (ayat 9).

Respons Paulus menunjukkan kepada kita jalan ke hadapan apabila kita menantikan jawapan Tuhan, atau apabila jawapan-Nya tidak seperti yang kita harapkan. Yesus ialah harapan kita dalam segala keadaan, dan dalam kekuatan-Nya kita memiliki lebih daripada yang kita perlukan.