Dunia astrologi kini sedang berkembang pesat. Setiap bulan, jutaan manusia—terutamanya generasi muda—melayari laman web horoskop. Ramai orang sering bergurau tentang fenomena Mercury retrograde (Utarid songsang), membandingkan zodiak masing-masing dengan watak haiwan atau filem, serta membaca ramalan harian secara santai seperti membaca laporan cuaca. Mereka berharap agar susunan bintang di langit mampu menjelaskan kekusutan hidup atau meramal masa depan mereka. Namun, apabila kita mendongak ke langit untuk mencari jawapan, kita sebenarnya telah melupakan Tuhan kita yang menciptakan dan menempatkan setiap bintang pada kedudukannya.

Dalam Ulangan 4:19, Musa memperingatkan bangsa Israel agar tidak melayangkan pandangan ke langit lalu tergoda untuk menyembah “matahari, bulan dan bintang.” Peringatan ini diberikan ketika Tuhan memperbaharui hubungan perjanjian yang istimewa dengan umat-Nya (ayat 23). Mereka telah pun mendengar suara-Nya di Gunung Sinai (ayat 12), menerima “kanun dan peraturan [Nya]” (ayat 14), dan bakal memasuki tanah perjanjian (rujuk fasal 31). Tuhan mengingatkan mereka bahawa benda-benda langit itu diciptakan sekadar untuk menghiasi cakerawala supaya dinikmati oleh semua bangsa, bukannya untuk disembah. Umat-Nya tidak sepatutnya mengagumi ciptaan melebihi Sang Pencipta. Alkitab menyatakan hal ini dengan sangat jelas. Penyembahan berhala hanya memperhambakan diri kita. Hanya Tuhan—bukannya buruj atau konstelasi bintang—yang berkuasa mendedahkan kebenaran serta mencorakkan sejarah.

Daripada taksub mencari horoskop seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang, marilah kita bersungguh-sungguh “mencari hadirat TUHAN, Allah [kita]” (ayat 29). Hanya Dia yang memberikan hikmat, bimbingan, dan keselamatan sejati yang kita dambakan.