Alunan muzik “Ave Maria”, iaitu karya Schubert, tiba-tiba dimainkan secara langsung di sebuah lokasi yang tidak disangka-sangka. Sebuah klinik vaksinasi kecil di Berkshire, Massachusetts, Amerika, bertukar menjadi dewan konsert apabila seorang pemain selo yang terkenal di peringkat antarabangsa, Yo-Yo Ma, mengadakan persembahan secara spontan selepas menerima suntikan vaksin Covid-19. Dia sekadar ingin berkongsi muzik yang membawa ketenangan kepada jiwanya.
Kita mempunyai banyak contoh dalam Alkitab yang mengingatkan kita tentang betapa berkuasanya muzik ketika kita menghadapi waktu cemas dan kesakitan. Dalam 1 Samuel 16, kita diberitahu bahawa muzik yang dimainkan oleh Daud berjaya menenangkan Raja Saul. Manakala dalam kitab Kisah Para Rasul, kita dapat membaca kisah tentang Paulus dan Silas. Mereka telah ditangkap, dipukul, dan “dimasukkan ke dalam penjara” (Kisah Para Rasul 16:23) kerana menyebarkan Berita Baik tentang Yesus. Namun, ketika mereka duduk dalam sel yang gelap sambil menanggung kesakitan akibat diseksa, Paulus dan Silas sebaliknya “berdoa dan memuji Allah” (ayat 25). Yang menariknya, Alkitab mencatatkan bahawa banduan-banduan lain turut mendengar nyanyian mereka!
Ketika mereka berdoa dan bernyanyi, damai sejahtera Tuhan turun menguasai keadaan tersebut. Kesannya, kuasa-Nya dinyatakan dengan cara yang luar biasa (ayat 26), sehingga pengawal penjara sendiri merayu untuk mengetahui apa yang harus dilakukannya “supaya diselamatkan” (ayat 30).
Apabila kita menyerahkan segala ketakutan kita kepada Tuhan melalui doa dan pujian, kita sedang mengundang kedamaian-Nya masuk ke dalam hidup kita—kedamaian yang juga mampu menyentuh dan mempengaruhi orang di sekeliling kita.
Apakah yang mungkin anda “nyanyikan” untuk membawa damai sejahtera Tuhan ke dalam situasi anda?
ILHAM
Peristiwa tentang seorang hamba perempuan yang mempunyai roh tenung berlaku di kota Filipi (Kisah Para Rasul 16:12). Setelah Paulus mengusir roh jahat daripada perempuan itu, tuan-tuannya menjadi marah kerana mereka kehilangan sumber keuntungan daripada mengeksploitasi hamba perempuan tersebut (ayat 18-19). Ketika mereka membuat tuduhan palsu terhadap Paulus dan Silas, mereka menggunakan kenyataan yang berunsur perkauman: “Mereka orang Yahudi, dan mereka menyebarkan ajaran yang tidak patut kita terima atau ikut kerana kita ini orang Romawi” (ayat 20-21). Ironinya, Paulus dan Silas sendiri merupakan warganegara Roma, kemudian mereka menggunakan hak tersebut sebagai alasan untuk menuntut keadilan (lihat ayat 37-39). Setelah mereka “disebat beberapa kali, kedua-duanya dimasukkan ke dalam penjara” (ayat 23), mereka tetap memberikan respons dengan “berdoa dan memuji Allah”(ayat 25). Ketika kita menghadapi ujian dan kesusahan hidup hari ini, kita juga boleh membawa segala kebimbangan kita kepada Tuhan dalam doa dan memohon agar Dia memenuhi hati kita dengan
damai-Nya.
