Apabila Cheryl bangun pada suatu pagi, dia terkejut dan cemas apabila mendapati dapurnya telah dibanjiri air semalaman. Air bertakung di dalam kabinet, di sekeliling singki, malah melimpah sehingga ke belakang peti sejuk. Dia segera menghubungi seorang tukang paip, yang dengan cepat mengenal pasti punca masalah tersebut: sebuah penapis air di bawah singki telah rosak. Sepanjang hari itu, Cheryl menghabiskan masanya untuk mengeringkan air di dapur dan memulakan proses membaiki serta memulihkan kerosakan-kerosakan di rumahnya. Malangnya, ramai pengguna lain juga turut melaporkan kebocoran yang sama; penapis tersebut kelihatan mempunyai kecacatan dalam reka bentuknya.

Manusia tidak dapat mengetahui masa depan dengan sempurna, maka kita perlu meletakkan sedikit kepercayaan kepada syarikat yang menjual barangan keperluan kita dan orang lain di sekeliling kita. Ada kalanya kepercayaan itu ternyata mengecewakan, walaupun kita telah berusaha untuk membuat pilihan yang bijak. Namun, berbeza dengan musibah mengejut yang menimpa Cheryl, umat Tuhan sebenarnya telah diberi amaran terlebih dahulu: berharap kepada Mesir untuk perlindungan, bantuan, atau keselamatan hanya akan membawa kekecewaan seperti tertulis dalam firman Tuhan, “TUHAN telah menolak mereka yang amat kauharapkan, dan engkau tidak akan berhasil dengan mereka” (Yeremia 2:37).

Walaupun Tuhan telah memberi amaran, bangsa Yehuda tetap menjalin persekutuan dengan Mesir, akhirnya mereka benar-benar menjadi tawanan musuh-musuh mereka. Seperti umat Yehuda, kita juga kerap menaruh harapan yang terlalu tinggi pada sesuatu yang bagai “perigi bocor, yang tidak dapat memuat air” (ayat 13), lalu melupakan bahawa kepercayaan utama kita seharusnya hanya kepada Tuhan. Tuhan mengajak kita untuk mempercayai-Nya, kerana Dialah sumber air hidup yang sejati. Dia tidak akan pernah mengecewakan kita.