Pada tahun 2017, sebuah video telah menjadi tular kerana menunjukkan seorang ayah menenangkan bayi lelakinya yang berusia dua bulan semasa bayi tersebut menerima vaksinasi rutinnya. Video ini mendapat perhatian antarabangsa kerana mempamerkan kasih sayang seorang ayah terhadap anaknya. Selepas jururawat selesai memberikan vaksinasi, ayah tersebut dengan lembut mendekatkan anaknya ke pipinya, dan bayi tersebut terus berhenti menangis dalam masa beberapa saat sahaja. Tiada cara yang lebih menenangkan selain penjagaan lembut daripada ibu bapa yang penyayang.

Dalam Alkitab, terdapat banyak huraian indah tentang Tuhan sebagai bapa yang penuh kasih, imej yang menggambarkan kasih Tuhan yang mendalam kepada anak-anak-Nya. Hosea, seorang nabi dalam Perjanjian Lama telah diutus oleh Tuhan untuk menyampaikan mesej-Nya kepada orang Israel yang tinggal di Kerajaan Utara, zaman kerajaan yang berpecah. Dia memanggil mereka kembali kepada Tuhan. Hosea memperingatkan orang Israel tentang kasih Tuhan kepada mereka dengan menggambarkan Tuhan sebagai Bapa yang lemah lembut: “Apabila Israel masih kecil, Kukasihi dia” (Hosea 11:1) dan “Aku mendekatkan mereka dengan penuh kasih sayang. Aku mendukung dan mencium mereka” (ayat 4, TMV).

Janji yang meyakinkan tentang penjagaan Tuhan yang penuh kasih ini juga adalah benar bagi kita. Sama ada kita pernah menolak kasih-Nya, atau kita mencari perlindungan-Nya yang lembut kerana kesakitan dan penderitaan dalam kehidupan kita, Dia memanggil kita anak-anak-Nya (1 Yohanes 3:1). Tangan-Nya sentiasa terbuka untuk menerima kita dan memberi penghiburan (2 Korintus 1:3-4).