Saya, kakak dan abang saya terbang dari negeri yang berasingan untuk menghadiri pengebumian bapa saudara kami dan singgah untuk melawat nenek kami yang berusia sembilan puluh tahun. Dia telah lumpuh akibat strok, kehilangan keupayaan untuk bercakap, dan hanya dapat menggunakan tangan kanannya. Semasa kami berdiri di sekeliling katilnya, dia menghulurkan tangan kanannya dan mengambil setiap tangan kami, meletakkan satu tangan di atas satu tangan yang lain di dadanya dan menepuknya. Dengan isyarat tanpa kata-kata ini, nenek saya berbicara tentang hubungan adik-beradik kami yang agak berpecah-belah dan renggang. “Keluarga adalah penting.”

Dalam keluarga Tuhan, iaitu gereja, hubungan kita juga boleh menjadi renggang dan terpisah. Kita mungkin akan membiarkan kepahitan memisahkan kita. Penulis Ibrani merujuk kepada kepahitan yang memisahkan Esau daripada saudaranya (Ibrani 12:16), dan mencabar kita untuk saling menyokong dalam keluarga Tuhan. “Berusahalah mendapatkan perdamaian dengan semua orang” (ayat 14). Ungkapan berusahalah bermaksud membuat keputusan dan mengambil langkah yang tegas untuk mencapai perdamaian dengan saudara dan saudari kita dalam keluarga Tuhan. Usaha sedemikian patut dipraktikkan oleh setiap orang. Ya, setiap orang.

Keluarga adalah penting. Baik keluarga duniawi kita mahupun keluarga Tuhan. Alangkah baiknya jika setiap kita berusaha untuk hidup damai antara satu sama lain.