Pembina yang Bijaksana
Pada tahun 1797, Sojourner Truth, yang nama lahirnya Isabella Baumfree, dilahirkan dengan status hamba di Esopus, New York. Walaupun hampir semua anaknya dijual sebagai hamba, dia melarikan diri untuk mendapat kebebasan pada tahun 1826 dengan seorang anak perempuannya dan tinggal bersama dengan keluarga yang membayar wang untuk kebebasannya. Oleh sebab dia tidak ingin membiarkan sistem yang tidak adil memisahkan keluarganya, dia mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan kembali anak lelaki bongsunya, Peter—satu pencapaian yang mengagumkan bagi seorang wanita Amerika Afrika pada masa itu. Oleh sebab dia menyedari bahawa dia tidak dapat membesarkan anak-anaknya tanpa pertolongan Tuhan, dia percaya kepada Kristus dan kemudian menukar namanya menjadi Sojourner Truth untuk menunjukkan bahawa hidupnya dibina berdasarkan kebenaran Tuhan.
Menyelamatkan yang Lemah
Antara 2 pilihan, sama ada melancong di Switzerland atau menyelamatkan anak-anak yang berada dalam bahaya di Prague, apakah pilihan anda? Nicholas Winton, seorang lelaki biasa telah memilih untuk menyelamatkan orang. Pada tahun 1938, perang antara Czechoslovakia dan Jerman bakal terjadi. Selepas melawat kem pelarian di Prague, tempat yang ramai rakyat Yahudi hidup dalam keadaan teruk, Nicholas terdorong untuk memberi pertolongan. Maka dia mencari dana untuk menghantar ratusan kanak-kanak dari Prague ke Great Britain untuk dijaga oleh beberapa keluarga British sebelum Perang Dunia Kedua tercetus.
Dimurnikan dalam Api
Emas 24 karat mengandungi hampir 100 peratus emas dengan sedikit bendasing. Peratusan itu sangat susah untuk dicapai. Tukang emas biasanya menggunakan satu daripada dua kaedah untuk proses penulenan. Proses Miller ialah cara yang paling cepat dan murah, tetapi tahap ketulenan hanya 99.95 peratus. Proses Wohlwill mengambil masa lebih lama dan mahal, tetapi hasilnya ialah 99.99 peratus.
Peranan Diraja
Apabila seseorang dalam keluarga diraja lebih layak menaiki takhta, maka semakin ramai orang akan lebih ingin tahu mengenai dia. Ahli-ahli keluarga diraja yang lain pula hampir dilupakan. Keluarga diraja British mempunyai pewaris takhta yang merangkumi hampir seramai 60 orang. Salah seorang ialah Lord Frederick Windsor, yang merupakan pewaris takhta Britain ke-49. Namun dia lebih suka menjalani kehidupannya secara senyap-senyap, bukannya menjadi perhatian ramai. Walaupun dia bekerja sebagai penganalisis kewangan, dia tidak dianggap sebagai “kerabat diraja yang bekerja”—seorang ahli keluarga penting yang dibayar gaji kerana mewakili keluarga.
Gambaran Putus Asa
Pada zaman Kemelesetan Ekonomi Dunia di Amerika Syarikat, jurugambar terkenal Dorothea Lange mengambil sekeping gambar Florence Owens Thompson dan anak-anaknya di Nipomo, California. Gambar yang terkenal ini, Migrant Mother, ialah gambar seorang ibu yang berputus asa selepas penuaian kacang yang tidak berhasil. Pada masa itu, Lange bekerja di Pentadbiran Keselamatan Ladang dan berharap untuk menyedarkan mereka tentang keperluan pekerja ladang yang terdesak.”
Ketabahan dalam Iman
Ernest Shackleton (1874–1922) pernah memimpin satu ekspedisi menyeberangi Antartika yang tidak berjaya pada tahun 1914. Ketika kapalnya terperangkap dalam ais besar di Laut Weddell, setiap saat menjadi perlumbaan ketabahan hanya untuk terus hidup sempena nama kapal itu—Ketabahan (Endurance). Tanpa ada cara untuk berhubung dengan sesiapa pun, Shackleton dan anak-anak kapalnya menggunakan bot penyelamat untuk belayar ke pantai yang terdekat—Pulau Elephant. Sementara kebanyakan anak kapal tinggal di pulau itu, Shackleton dan lima anak kapal menghabiskan dua minggu dan perjalanan sejauh 1300km untuk merentasi laut ke Georgia Selatan, agar mendapatkan bantuan bagi mereka yang tertinggal di pulau. Ekspedisi yang “gagal” telah menjadi catatan kemenangan yang cemerlang dalam buku sejarah apabila semua anak kapal Shackleton terselamat, kerana keberanian dan ketabahan mereka.
Mukjizat Salji Putih
Pada abad ke-17, ahli sains Isaac Newton menggunakan sebuah prisma untuk mengkaji bagaimana cahaya membantu kita melihat pelbagai warna. Dia mendapati bahawa apabila cahaya menembusi sesuatu objek, objek itu akan membiaskan warna tertentu. Walaupun sebutir kristal ais kelihatan lutsinar, salji sebenarnya terdiri daripada butiran-butiran kristal ais yang hancur. Apabila cahaya menembusi semua kristal itu, salji kelihatan berwarna putih.
Kuatkan Lutut yang Goyah
Sewaktu kanak-kanak, saya menganggap lagu Inggeris “Dia Melihat Di Sebalik Salahku dan Nampak Keperluanku (Need)” hasil gubahan Dottie Rambo pada tahun 1967, sebagai “Dia Melihat Di Sebalik Salahku dan Nampak Lututku (Knees)”. Pada ketika itu, saya selalu tertanya-tanya sebabnya Tuhan mahu melihat lutut saya. Adakah mungkin kerana lutut-lutut itu lemah? Saya tahu maksud lemah lutut ialah “takut”. Kemudian saya mendapati bahawa Dottie menggubah lagu itu yang berbicara tentang kasih Tuhan yang tidak bersyarat, sebagai respons kepada saudara lelakinya Eddie yang berfikir bahawa dia tidak mungkin dikasihi Tuhan kerana perbuatan-perbuatan jahat yang pernah dilakukannya. Dottie meyakinkan Eddie bahawa Tuhan melihat kelemahannya namun tetap mengasihinya.
Kegagalan adalah Mustahil
“Kegagalan adalah mustahil!” Kata-kata ini diucapkan oleh Susan B. Anthony (1820—1906). Dia dikenali kerana pendirian teguhnya terhadap hak kaum wanita di Amerika Syarikat. Meskipun dia terus-menerus menghadapi kritikan dan kemudiannya ditahan, dibicarakan, dan didapati bersalah kerana mengundi secara haram, Anthony bertekad tidak berputus asa dalam perjuangannya demi mendapatkan hak wanita untuk mengundi, kerana dia percaya bahawa perjuangannya adalah demi keadilan. Walaupun dia tidak lagi hidup untuk melihat hasil usahanya, namun penegasannya dibuktikan benar. Pada tahun 1920, pindaan Perlembagaan yang ke-19 telah memberikan hak mengundi kepada kaum wanita.