Aubrey membeli kot bulu biri-biri untuk ayahnya yang sudah tua, tetapi ayahnya meninggal sebelum sempat memakainya. Kemudian dia memasukkan sekeping nota dituliskan kata-kata dorongan berserta 20 dolar ke dalam poket kot itu dan mendermakan kot itu kepada badan amal.

Sementara itu, memandangkan keadaan keluarga yang teruk, Kelly yang berusia 19 tahun tidak dapat menahan lagi dan meninggalkan rumahnya tanpa membawa kot. Dia hanya tahu satu tempat tujuannya—rumah neneknya yang sejauh 145 kilometer. Neneknya selalu berdoa untuk Kelly. Setelah beberapa jam, Kelly turun dari bas dan lari ke dalam pelukan neneknya. Ketika melihat Kelly tidak memakai kot, neneknya berkata, “Jom, kita pergi cari kot tebal untuk kamu!” Kemudian mereka pergi ke pusat amal Kristian. Sewaktu Kelly mencuba kot yang disukainya, dia memasukkan tangannya ke dalam poket dan menemukan nota serta 20 dolar daripada Aubrey.

Yakub meninggalkan keluarganya yang porak-peranda kerana ancaman nyawa (Kejadian 27:41-45). Ketika dia sedang tidur, Tuhan menyatakan diri-Nya kepada Yakub dalam mimpi. Tuhan berkata, “Ingatlah, Aku akan melindungi engkau dan menolongmu ke mana sahaja engkau pergi” (28:15). Yakub bersumpah, “Jika Engkau melindungi dan menolong aku sepanjang perjalananku, serta memberi aku makanan dan pakaian … , Engkau akan menjadi Allahku” (ayat 20–21).

Yakub membina sebuah mazbah dan menamakan tempat itu “rumah Allah” (ayat 22, AVB). Kelly membawa nota Aubrey dan 20 dolar itu ke mana sahaja dia pergi. Ini menjadi peringatan bahawa ke mana sahaja kita pergi, Tuhan menyertai kita.