Pada tahun 1892, seorang penduduk yang menghidap penyakit kolera (penyakit muntah-muntah dan selalu buang air) secara tidak sengaja menyebarkan penyakit tersebut melalui Sungai Elbe ke Hamburg, yang merupakan sumber bekalan air yang utama di Jerman. Dalam masa beberapa minggu, seramai sepuluh ribu rakyat telah terkorban. Lapan tahun sebelum kejadian tersebut, seorang ahli mikrobiologi berbangsa Jerman, Robert Koch telah membuat satu penemuan: penyakit kolera boleh tersebar melalui air. Penemuan Koch telah mendorong pihak berkuasa di pelbagai bandar besar Eropah untuk melabur dalam sistem penapisan air bagi melindungi bekalan air mereka. Namun pihak berkuasa di Hamburg tidak melaksanakan sebarang langkah untuk mencegah penyakit tersebut. Dengan menggunakan alasan bahawa kos terlalu tinggi dan dakwaan bahawa sains penemuan tersebut adalah amat meragukan, maka mereka tidak menghiraukan amaran yang telah jelas diberi sementara bandar mereka bakal ditimpa malapetaka.

Kitab Amsal banyak mengatakan tentang mereka yang melihat masalah tetapi enggan bertindak. “Orang bijaksana melihat bahaya lalu bersembunyi” (Amsal 27:12). Apabila Tuhan menolong kita melihat bahaya di hadapan kita, ini adalah penting untuk mengambil tindakan bagi menangani bahaya tersebut. Kita harus bijak mengubah haluan kita atau bersedia mengambil langkah berjaga-jaga sesuai dengan apa yang telah disediakan Tuhan. Sekurang-kurangnya kita harus melakukan sesuatu. Tidak berbuat apa-apa merupakan sikap yang tidak masuk akal. Setiap kita ada kalanya gagal untuk melihat tanda-tanda amaran malah menuju ke arah malapetaka. “Orang betul bendul berjalan terus lalu menderita akibatnya” (Amsal 27:12).

Dalam Alkitab dan kehidupan Yesus, Tuhan telah menunjukkan kita haluan yang perlu diikuti dan memberi amaran kepada kita tentang kesukaran yang kita pasti akan hadapi. Jika kita bersikap bodoh, kita akan menuju ke arah bahaya. Sebaliknya, semasa Tuhan memimpin kita dengan rahmat-Nya, marilah kita mengendahkan hikmat-Nya dan mengubah haluan kita.