Apabila Elaine didiagnosis menghidap kanser tahap akhir, dia dan suaminya, Chuck, tahu bahawa tidak lama lagi dia akan bersama dengan Yesus. Mereka berdua telah berpegang pada janji Tuhan dalam Mazmur 23 bahawa Tuhan akan menyertai mereka apabila mereka melangkah di lembah yang dalam dan paling sukar dalam 54 tahun mereka bersama. Mereka memegang harapan bahawa Elaine telah bersedia untuk bertemu Yesus, sejak dia percaya kepada-Nya berdekad-dekad yang lalu.
Pada upacara peringatan isterinya, Chuck berkongsi bahawa dia masih mengembara “di lembah bayangan maut” (Mazmur 23:4). Hidup isterinya di syurga telah bermula. Tetapi “bayangan maut” masih bersamanya dan orang lain yang sangat menyayangi Elaine.
Ketika kita mengembara melalui lembah bayangan, di manakah kita boleh mencari sumber cahaya kita? Rasul Yohanes mengisytiharkan bahawa “Allah itu cahaya; dan sama sekali tiada kegelapan dalam-Nya” (1 Yohanes 1:5). Dalam Yohanes 8:12, Yesus berkata: “Akulah cahaya dunia. Orang yang mengikut-Ku tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup.”
Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita “melangkah … dalam cahaya wajah-[Nya]” (Mazmur 89:15). Tuhan kita telah berjanji untuk menyertai kita dan menjadi sumber cahaya kita walaupun ketika kita melalui lembah bayangan yang gelap.
Lembah apakah yang pernah anda lalui ? Apakah janji Tuhan yang telah menyinari perjalanan hidup anda?
Tuhan yang pengasih, terima kasih kerana Engkau berjanji untuk tidak meninggalkanku. Aku percaya kepada-Mu, yang menjadi kekuatanku, penyedia segala keperluanku dan sumber sukacita di sepanjang hidupku.
Sebelum menjadi raja atau pahlawan, Daud ialah seorang penyair dan gembala bagi kawanan domba ayahnya (1 Samuel 16:11). Padahalnya, Tuhan telah menggunakan tugas penggembalaan Daud sebagai medan latihan untuk mempersiapkannya menghadapi cabaran-cabaran yang bakal dihadapi. Sebagai contoh, apabila kawanan dombanya diserang oleh singa dan beruang, dia berdiri teguh dan mengalahkannya (17:34-37). Menurut Daud, peristiwa-peristiwa itu telah mempersiapkan dia menghadapi si raksasa, Goliat dalam pertempuran. Tanggungjawab kepemimpinan dan penjagaan kawanan dombanya juga merupakan persiapan yang baik untuk menjaga kawanan Tuhan, iaitu bangsa Israel (Mazmur 78:70-72). Seperti dalam perumpamaan Yesus (Matius 25:21, 23), Daud telah setia dalam perkara-perkara kecil dan Tuhan menjadikannya penguasa atas banyak perkara. Demikian juga, puisi-puisinya membantu membentuk sistem ibadah Israel, kerana Daud dikreditkan sebagai pengarang bagi sekurang-kurangnya tujuh puluh tiga mazmur dalam kitab Mazmur.
Bill Crowder