Artis zaman Renaissance, Albrecht Dürer, menjadi terkenal kerana bakatnya pada usia dua puluh tahun. Pengkritik seni pada zamannya menggelarnya sebagai “minda terhebat yang mengekspresikan dirinya melalui garisan.” Apabila kemasyhurannya semakin tersebar, golongan berpengaruh cuba mengupahnya dengan pelbagai janji kemewahan dan kesenangan. Bahkan artis terkenal lain seperti Giovanni Bellini dan Raphael juga mengagumi karyanya.

Dalam potret diri yang dianggap oleh para pakar sebagai karyanya yang terbaik, Dürer menggabungkan ciri-ciri fizikalnya sendiri dengan gambaran wajah Yesus mengikut imaginasinya. Dia melukis dirinya dengan rambut panjang beralun, berjanggut, dan mata yang seakan-akan memancarkan tujuan ilahi. Walaupun ramai menganggap lukisan ini sebagai satu tanda keangkuhan Dürer terhadap dirinya, orang lain yang mengenalinya percaya bahawa Dürer sebenarnya ingin menjalani kehidupan yang membolehkan orang melihat Yesus dalam dirinya.

Jika kita benar-benar mengenal Kristus, hal ini pastinya menjadi kerinduan kita. Dengan percaya kepada-Nya dan menerima kematian serta kebangkitan-Nya sebagai dasar hubungan kita dengan Tuhan, ini bererti kita kini harus hidup untuk Yesus—bukan lagi untuk diri sendiri (Galatia 2:19). Kita hidup untuk-Nya, dan Dia hidup dalam kita serta bekerja melalui kita. Rasul Paulus menyatakan hal ini tentang tentang perubahan rohaninya: “Bukanlah aku lagi yang hidup, tetapi Kristus yang hidup dalam aku” (ayat 20). Kiranya kemuliaan Kristus bersinar melalui kehidupan kita hari ini supaya dunia dapat melihat-Nya dalam diri kita.