Category  |  Pedoman Harian

Tanda-Tanda Kehidupan

Apabila anak perempuan saya menerima sepasang ketam peliharaan sebagai hadiah, dia menyediakan tangki kaca dan mengisinya dengan pasir supaya haiwan itu boleh memanjat dan menggali. Dia juga membekalkan air, protein, dan sisa sayur-sayuran sebagai makanan ketam. Ketam itu kelihatan baik-baik sahaja, tapi agak mengejutkan apabila ketam itu tiba-tiba menghilang pada suatu hari. Kami mencari di mana-mana. Akhirnya, kami berfikir bahawa ketam tersebut mungkin berada di bawah pasir, dan akan berada di situ selama kira-kira 2 bulan semasa melepaskan rangka luar ketam. Kini 2 bulan sudah berlalu, kemudian sebulan lagi berlalu dan saya mula berasa bimbang serta berfikir bahawa mungkin ketam itu telah mati. Semakin lama kami menunggu, saya menjadi semakin tidak sabar. Akhirnya, kami melihat tanda-tanda kehidupan, ketam-ketam tersebut muncul dari pasir. Saya juga tertanya-tanya jika orang Israel pernah meragui nubuat Tuhan untuk mereka akan digenapi ketika mereka hidup sebagai orang buangan di Babilonia. Adakah mereka berasa putus asa? Adakah mereka bimbang bahawa mereka akan terperangkap di sana selama-lamanya? Melalui Yeremia, Tuhan telah berfirman, “Aku akan memperhatikan kamu lagi dan menepati janji-Ku untuk membawa kamu pulang [ke Yerusalem]” (Yeremia 29:10). Tepat sekali, 70 tahun kemudian, Tuhan mengerakkan hati Raja Kores iaitu raja Persia untuk membenarkan orang Yahudi pulang dan membina semula Rumah TUHAN mereka di Yerusalem (Ezra 1:1-4). Dalam musim-musim penantian yang kelihatan seperti tiada apa-apa yang berlaku, Tuhan tidak melupakan kita. Semasa Roh Kudus menolong memupuk kesabaran dalam diri kita, kita dapat mengetahui bahawa Dia adalah Pemberi Harapan, Pemegang Janji, dan Dialah yang mengawal masa depan.

Bayi Lelaki

Selama lebih daripada setahun, nama asalnya ialah “Baby Boy.” Dia ditemui oleh seorang pengawal keselamatan yang mendengar tangisannya. Baby Boy telah ditinggalkan—berjam-jam lamanya di dalam sebuah beg dan tubuhnya hanya dibalut dengan kain—di tempat letak kereta di sebuah hospital.

Adakah Anda Masih Mengasihiku?

Lyn-Lyn yang berusia 10 tahun akhirnya telah dijadikan anak angkat, tetapi dia berasa takut. Sewaktu tinggal di rumah anak yatim, tempat yang dia dibesarkan, dia pernah dihukum kerana kesilapan yang kecil. Lyn-Lyn bertanya kepada ibu angkatnya, yang juga merupakan kawan saya: “Ibu, adakah ibu sayang aku?” Ketika kawan saya menjawab ya, Lyn-Lyn bertanya lagi, “Jika aku buat silap, ibu masih sayang aku?”

Jangka Hayat 

Pada tahun 1990, para penyelidik Perancis mengalami masalah komputer: terjadinya ralat data apabila mereka memproses umur Jeanne Calment. Dia berusia 115 tahun pada ketika itu, jangka masa umur yang di luar kiraan program komputer. Mereka yang membuat program tersebut mengandaikan bahawa tiada seorang pun boleh mencapai jangka hayat yang sebegitu lama! Namun ternyata, Jeanne hidup sehingga usianya 122 tahun.  

Peranan Anda, Peranan Tuhan

Apabila rakan saya Janice diminta untuk menguruskan jabatannya di tempat kerja hanya selepas beberapa tahun pengalaman, dia berasa terharu. Dia berdoa tentang hal itu dan merasakan bahawa Tuhan mendorongnya untuk menerima pelantikan tersebut—tetapi dia masih bimbang dia tidak dapat memikul tanggungjawab itu. “Bagaimanakah saya dapat memimpin dengan pengalaman saya yang sedikit ini?” dia bertanya kepada Tuhan. “Mengapa meletakkan aku dalam posisi ini jika aku akan gagal?” Kemudian, ketika Janice sedang membaca tentang panggilan Tuhan kepada Abram dalam Kejadian 12 dan menyedari bahawa peranannya adalah “pergilah ke negeri yang akan Aku tunjukkan kepadamu … Abram berangkat” (ayat 1, 4). Ini adalah langkah yang radikal, kerana tiada siapa yang dipanggil meninggalkan kampung halamannya seperti ini pada zamannya. Namun Tuhan mahu Abram mempercayai-Nya dengan meninggalkan segala sesuatu, dan Tuhan akan melakukan yang selebihnya. Identiti? Anda akan menjadi bangsa yang hebat. Bekalan? Aku akan memberkati anda. Reputasi? Nama yang hebat. Tujuan? Anda akan menjadi berkat kepada semua bangsa di muka bumi. Dia membuat beberapa kesilapan besar di sepanjang perjalanannya, tetapi “kerana beriman, Abraham mentaati Allah ketika Allah memanggilnya dan menyuruhnya pergi ke negeri yang dijanjikan … tanpa mengetahui ke mana dia akan pergi” (Ibrani 11:8). Kesedaran ini menghilangkan beban berat dalam hati Janice. “Saya tidak perlu risau tentang ‘mencapai kejayaan’ dalam pekerjaan saya,” katanya. “Saya hanya perlu berfokus dalam mempercayai Tuhan yang memberikan kemampuan kepada saya untuk melakukan kerja itu.” Apabila Tuhan memberikan iman yang kita perlukan, semoga kita mempercayai Dia sepanjang hidup kita.

Kesyukuran yang Bahagia

Robert Emmons, iaitu seorang ahli psikologi, telah membuat satu kajian dengan membahagikan para sukarelawan kepada tiga kumpulan yang masing-masing akan membuat catatan mingguan dalam sebuah jurnal. Kumpulan pertama menulis 5 perkara yang mereka perlu mensyukuri. Kumpulan kedua menerangkan 5 perkara yang menjadi cabaran harian. Kumpulan ketiga menyenaraikan 5 peristiwa yang telah memberi kesan kecil kepada mereka. Hasil kajian menunjukkan bahawa mereka yang berada dalam kumpulan pertama, mengalami hidup dengan lebih baik secara keseluruhan, lebih optimistik tentang masa depan, dan kurang mengalami masalah kesihatan. Sikap yang sentiasa bersyukur dapat mengubah cara kita menganggap kehidupan dan membuat kita lebih bahagia. Alkitab telah lama menekankan tentang kepentingan mengucap syukur kepada Tuhan, kerana itu boleh mengingatkan kita tentang sifat-Nya. Mazmur berulang kali memanggil umat Tuhan untuk mengucap syukur kepada-Nya, kerana “TUHAN itu baik; Dia tetap mengasihi umat-Nya dan setia kepada mereka selama-lamanya” (Mazmur 100:5) dan “bersyukur kepada TUHAN untuk kasih-Nya yang kekal, untuk perbuatan menakjubkan yang dilakukan-Nya” (Mazmur 107:8, 15, 21, 31). Ketika rasul Paulus menulis bahagian penutup suratnya yang ditujukan kepada jemaah di Filipi—surat itu semacam ucapan terima kasih kepada jemaah yang telah menyokongnya—dia mengaitkan doa kesyukuran dengan kedamaian daripada Tuhan yang “tidak mungkin difahami oleh manusia” (Filipi 4:7). Apabila kita fokus kepada Tuhan dan kebaikan-Nya, kita dapat berdoa tanpa kebimbangan dalam setiap keadaan, dengan mengucap syukur. Ucapan syukur memberi kita kesejahteraan yang secara unik menjaga hati dan fikiran kita, serta mengubah cara kita melihat kehidupan. Hati yang penuh kesyukuran memupuk semangat kegembiraan.

Kuasa Firman Tuhan

Stephen adalah seorang pelawak yang sedang meningkat maju, dan seorang “anak yang hilang”. Dia dibesarkan dalam keluarga Kristian, tetapi kemudian dia bergelut dengan keraguan selepas ayah dan dua adik lelakinya maut dalam nahas kapal terbang. Ketika usianya menjejak awal dua puluhan, dia telah kehilangan imannya. Namun dia menemukannya kembali apabila seseorang yang tidak dikenali memberinya sebuah Alkitab Perjanjian Baru bersaiz kecil, pada suatu malam yang sejuk ketika dia berjalan-jalan di sekitar bandar Chicago. Stephen mula membuka halaman Alkitab itu dan terlihat indeks yang mengatakan bahawa mereka yang bergelut dengan kebimbangan harus membaca Matius 6:27-34, Khutbah Yesus di atas Bukit. Stephen bertaubat pada saat itu juga. Firman Tuhan menyemarakkan api yang membakar dalam hatinya. Dia mengimbas kembali dan berkata, “Saya benar-benar disedarkan dengan serta-merta. Saya berdiri di sudut jalan dalam kesejukan sambil membaca khutbah tersebut. Sejak itu, hidup saya telah berubah sepenuhnya.” Demikianlah kuasa firman Tuhan. Alkitab tidak seperti buku yang lain, kerana firman Tuhan itu hidup. Kita tidak hanya membaca Alkitab. Alkitab membaca kita. “... lebih tajam daripada pedang bermata dua. Firman itu menusuk sampai ke batas antara jiwa dan roh …; Firman Allah menghakimi fikiran dan niat hati manusia” (Ibrani 4:12). Firman Tuhan memberikan kuasa yang sangat kuat di dalam planet ini, kuasa yang mengubah dan membawa kita ke arah kematangan rohani. Mari kita membuka dan membacanya dengan suara yang nyaring, meminta Tuhan menyemarakkan hati kita. Dia berjanji bahawa perkataan yang diucapkan-Nya “akan berjaya mencapai tujuan-[Nya], dan melakukan setiap perkara yang [ditentukan-Nya]” (Yesaya 55:11). Hidup kita tidak akan sama lagi.

Kawalan Kendiri dalam Kekuatan Tuhan

Pada tahun 1972, satu kajian yang dikenali sebagai “ujian marshmallow” telah dibuat untuk menilai keupayaan kanak-kanak menahan diri daripada memuaskan keinginan mereka. Kanak-kanak ditawarkan dengan sebiji gula-gula marshmallow untuk dinikmati, tetapi mereka diberitahu bahawa jika mereka boleh menahan diri daripada memakannya dalam tempoh 10 minit, mereka akan diberi gula-gula marshmallow yang kedua. Hasilnya, kira-kira satu pertiga daripada kanak-kanak itu dapat melakukannya demi ganjaran yang lebih besar. Satu pertiga lagi memakannya dengan gelojoh dalam masa hanya 30 saat!

Burung di Udara

Matahari musim panas sedang terbit, jiran saya tersenyum ketika melihat saya di halaman rumah, sambil berbisik memanggil saya untuk datang melihat sesuatu. “Apa?” Saya berbisik kembali, tertarik. Dia menunjukkan peranggu loceng di anjung hadapan rumahnya, tempat sebiji cawan jerami kecil disertakan straw diletakkan di atas anak tangga logam. “Sarang burung madu,” bisiknya. “Kamu nampak anak-anaknya?” Kedua-dua paruh kecil itu hampir tidak kelihatan semasa paruh tersebut menghala ke atas. “Anak-anak sedang menunggu induk.” Kami berdiri di situ, berasa kagum. Saya mengangkat telefon bimbit saya untuk mengambil gambar. “Jangan terlalu dekat,” kata jiran saya. “Jangan takutkan induk burung.” Demikianlah kami memelihara—dari jauh—sekeluarga burung madu.